Save on your hotel - hotelscombined.com

Zed Zaidi Desak Jupe Daftar Jadi Ahli Seniman

Nampaknya isu Julia Perez (Jupe) masih belum selesai. Bagi Presiden Seniman, Zed Zaidi, masih banyak hal yang perlu diteliti sebelum Jupe benar-benar boleh diberi lampu hijau untuk ‘cari makan’ di negara ini.

Dalam laporan media semalam menyebut permohonan maaf telah dibuat oleh produksi Nusantara Seni Karya Sdn Bhd berhubung penglibatan Jupe dalam Sentuhan Malam Pertama. Serta pengesahan berhubung permohonan permit aktres kontroversi Indonesia itu sedang dalam proses mendapat kelulusan oleh pihak Agensi Pusat Pemohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

Serta dalam artikel yang kami siarkan semalam, NSK memaklumkan yang Jupe akan kembali ke Malaysia bagi menjalani penggambaran filem arahan Murali Abdullah itu.

Bertemu Zed Zaidi sewaktu satu sidang media khas di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) semalam, beliau berkata, pihaknya memandang serius mengenai kemasukan Jupe ke negara ini yang didapati tanpa permit Pekerja Filem Asing selain telah menyalahgunakan pas lawatan.

“Ikut peraturan sepatutnya kalau tiada permit sah, dia (Jupe) boleh dikenakan denda tak lebih RM1000 atau penjara tak lebih enam bulan. Itu adalah akta imigresen”, kata Zed Zaidi kepada malaysiandigest.com

Justeru bagi mengekang situasi sebegini, sebuah badan bertindak yang berperanan membantu penguat kuasa Perbadanan Filem Nasional (Finas) Malaysia memutuskan mula Januari 2013, kemasukan artis dan pekerja seni dari luar perlu mematuhi garis panduan yang termaktub dalam Pandu Citra dengan membuat permohonan melalui tida persatuan berdaftar mengikut bidang tugas masing-masing.

Sekiranya sebagai pekerja seni harus mendaftarkan diri kepada Persatuan Profesional Perkerja Filem Malaysia (PROFIMA). Kalau sebagai pengarah perlu mendaftar dengan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan kalau artis pula perlu mendaftar dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Dalam pada itu Zed juga memberitahu dia ada menerima kiriman faks daripada NSK berhubung kenyataan maaf Jupe. Manakala isu permit pula beliau menyerahkan hal berkenaan kepada FINAS.

“Sekarang ni kalau soal permit tu, saya serahkan kepada FINAS. Saya sebagai persatuan, apa yang saya membebel-bebel dalam Twitter tu, sebenarnya saya menyuarakan. Pihak yang boleh mengambil tindakan ialah FINAS.

“Pihak produksi kata mereka sekarang tengah dalam proses dapatkan permit untuk dia? Dia akan dapat permit… belum dapat permit lagi. Jadi, dapatkan permit dulu! Lagipun ikut syarat dan mekanismanya, dia bukan kena dapatkan kelulusan daripada PUSPAL tapi kelulusan daripada FINAS sebab produski yang bertanggungjawab membawanya ke sini itu adalah produksi Malaysia.

“Dapatkan dulu permit melalui FINAS dan untuk nak mendapatkan kelulusan itu, dibawah syarat tersebut Jupe perlu mendaftar sebagai ahli seniman bersekutu. Kalau betul dia dah daftar nanti, saya akan ambil gambar dia sebagai bukti”, katanya dengan nada berseloroh.

Tatkala diminta mengulas mengenai status beliau di Twitter sehingga mencetuskan ‘perang’ antara dirinya dengan Jupe, Zed menegaskan sebagai persatuan apa yang disuarakan di laman sosialnya itu adalah supaya orang luar tidak mudah memperlekehkan undang-undang negara.

“Bukan soal komen dia tu saja. Saya beranggapan dia tak hormat negara kita. Dah lah datang tanpa permit kerja, lepas tu sewenang-wenangnya jalani penggambaran. Lepas tu hina produk kita!

“Dia kata saya jahat, tapi saya tak balas pun… Saya profesional. Negara saya ada undang-undang. Kalau nak masuk sini, nak kerja sini, kena lah ikut prosedur yang betul”, katanya.

– www.malaysiandigest.com

Comments

comments

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.