Keunikan Pusat Dakwah & Tarbiyah: Masjid Jamek Sri Petaling

Masjid Jamek Sri Petaling ini merupakan markaz ataupun pusat dakwah utama bagi Jemaah Tabligh seluruh Malaysia. Lokasi masjid ini di Bandar baru Sri Petaling, Kuala Lumpur ini dibina di atas bukit dan segala belanja pembangunan bersumber daripada kutipan umat Islam dan pihak persendirian, tiada bantuan daripada pihak kerajaan ataupun mana-mana syarikat korporat. Ia juga dibina seratus peratus oleh orang Islam.

Masjid ini tersergam indah di atas sebuah bukit di Bukit Jalil tidak berapa jauh dari Stesyen LRT Bukit Jalil ataupun Sri Petaling. Kawasannya begitu luas kerana ia juga mempunyai sebuah Madrasah Tahfiz dan Alim bernama Madrasah Miftahul Ulum dilengkapi dengan beberapa bangunan kelas madrasah, asrama pelajar & kuarters tenaga pengajar (asatizah) dan di sebelahnya sebuah kantin yang juga agak besar ruang makannya. Ruang solatnya juga luas dan satu saf mampu memuatkan beberapa ratus Jemaah solat.

Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di masjid ini boleh merasakan suatu kelainan berbanding masjid-masjid lain di sekitar Lembah Klang ataupun di seluruh Malaysia. Suatu perasaan kerohanian di jiwa membuat hati merasa sayu dan tersentuh. Mungkin kerana masjid ini hidup dengan amalan kerohanian seperti di Masjid Nabawi ketika zaman Rasulullah SAW dahulu dengan amalan Dakwah, Taalim, Ibadat dan Khidmat.

Jika diperhatikan dengan teliti pasti ramai yang perasan bahawa pintu masuk ke dalam masjid ini tidak mempunyai selak di mana-mana penjuru samada dipintu utama ataupun disebelah kiri dan kanan masjid. Lebih unik lagi masjid ini tidak berkunci dan tidak boleh dikunci. Ia sentiasa dibuka 24 jam sehari dan sesiapa sahaja boleh keluar masuk ke dalamnya untuk beribadat tidak kira masa.

Memang ada Imam dan Bilal yang bertugas tetap di dalam pentadbiran Masjid Jamek Sri Petaling. Mereka bertanggungjawab di atas urusan utama termasuk Azan, Solat Berjemaah dan juga aktiviti dan program lain seperti kelas pengajian agama untuk ahli kariah dan sebagainya.

Namun demikian tugas-tugasan lain seperti keselamatan, pembersihan, tukang masak adalah secara sukarela dan bertukar setiap hari ataupun masa tertentu. Tugas ini diberikan kepada setiap Jemaah yang baru pulang dari keluar berdakwah samada di dalam atau luar negara. Ada juga yang memberi masa selama 10 hari atau beberapa hari untuk menjadi sukarelawan berkhidmat kerana Allah.

Masjid ini sentiasa ada programnya setiap hari dalam 24 jam dari kuliah (bayan) Subuh, taklim Zuhur, bayan Asar dan Maghrib dan bacaan kitab Hayatus Sahabah (Kehidupan Para Sahabat Nabi) setiap hari. Akan sentiasa ada Jemaah yang sibuk dengan amalan samada infiradi (sendiri) ataupun secara Ijtima’I (beramai). Setiap waktu Solat akan dihadiri oleh ratusan makmum di belakang seorang imam.

Suatu perkara yang unik dan tidak akan dijumpai di mana-mana masjid seluruh dunia adalah tiadanya tabung menderma di dalam masjid ini. Bagi mereka yang pertama kali solat di masjid ini dan mahu menderma pasti akan kecewa dan tertanya-tanya di manakah tabung untuk menderma.

Segala perbelanjaan untuk pentadbiran masjid ini adalah dibuat secara persendirian oleh mana-mana ahli Jemaah dan individu yang telah mendapat persetujuan daripada Ahli Syura, jadi kutipan wang tidak boleh diterima daripada sumber yang tidak diketahui puncanya.

Masjid ini dilengkapi dengan tandas dan bilik mandi yang berjumlah ratusan untuk kegunaan ahli Jemaah dan keselesaan. Jadi Jemaah tidaklah menunggu begitu lama untuk urusan di bilik air.

Masjid ini juga pernah mengadakan Ijtima (Perhimpunan tahunan) untuk ahli Jemaah Tabligh seluruh Lembah Kelang dan dihadiri hampir 30 ribu jemaah.

Setiap hari Sabtu malam Ahad ada program mingguan iaitu Bayan atau ceramah selepas Solat Maghrib sehingga Isyak diikuti amalan beriktikaf dan qiamullail. Masjid ini akan dipenuhi oleh ribuan ahli Jemaah dari seluruh Lembah Kelang. Ceramahnya tidak berbau politik ataupun untuk kutipan derma tetapi lebih kepada usaha dakwah dan usaha atas iman dan akhirat. Di akhir bayan akan dibuat Tasykil ataupun mengambil nama untuk mereka yang bersedia berkorban harta dan masa keluar di jalan Allah.
Bagi sesiapa yang berkunjung di Bukit Jalil dan kawasan sekitarnya silalah datang ke masjid ini dan duduk di dalam program yang disediakan untuk santapan rohani. Semoga masjid yang dibina atas dasar taqwa ini akan terus hidup dengan amalan kerohanian seperti pada ketika zaman Rasulullah S.a.w dahulu. Wallahua’lam.

Comments

comments

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.