Ibadah Qurban dan kelebihan

Apakah yang dimaksudkan dengan ibadah qurban?

Makna qurban atau disebut al-udhiyyah ialah binatang yang disembelih pada waktu Dhuha. Manakala penegertian dari segi hukum syara’ ialah binatang ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau yang disembelih pada Hari Raya Adha atau pada hari-hari Tasyrik ( 11,12 dan 13 Zulhijjah ) dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

Sekiranya kalau kita meneliti maksud qurban yang sebenar yang dikehendaki oleh Islam iaitu “Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t”, maka seharusnya kita insaf bahawa ianya suatu tuntutan untuk diri kita sendiri. Ianya merupakan suatu ukuran ketaqwaan terhadap hamba-hambaNya. Tidak boleh sesekali kita berqurban kerana atau untuk seseorang, atau sesuatu yang selain daripada Al’Lah s.w.t, sebagaimana kita tidak dibenarkan mengerjakan solat untuk seseorang.

Allah berfirman :
‘Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (berqurban untuk Tuhanmu)’(Al-Kausar : 2 )

Jelas di sini, Allah s.w.t meletakkan ibadah qurban itu bersebelahan dengan perintah solat, agar difahamai dalam makna yang betul.

Jadi, tanggapan pada hari ini bahawa qurban itu bertujuan untuk memberi makanan pada orang msiskin, satu konsep yang silap. Konsep ini menyebabkan hilangnya kesuburan dalam melaksanakan ibadat qurban khususnya dalam suasana masyarakat yang mewah kerana keperluan manusia untuk menerima daging qurban itu bukan sesuatu yang terdesak.

Insya Allah, Hal ini akan lebih difahami apabila kita melihat fadhilat berqurban. dan kita dapat melihat betapa pentingnya ibadah ini perlu dilaksanakan. Ianya lebih diperlukan kepada si pelaksana daripada si penerima.

Bagaimana dan bilakah hendak melaksanakannya?

Pelaksanaan ibadah qurban boleh di lakukan dengan menyembelih sendiri haiwan ternakan atau mewakilkannya kepada pihak lain. Waktu bagi melakukan ibadah ini hanya pada hari yang di khususkan oleh syara’ iaitu pada mana-mana diantara 10, 11, 12, dan 13 Zulhijjah setiap tahun.

Apakah hukum melaksanakan ibadah qurban?

Hukum melaksanakan ibadah qurban adalah sunat muakkad. Ini bermakan ia adalah ibadah sunat yang sangat-sangat di tuntut oleh Islam keatas umatnya untuk di lakukan jika berkemampuan.

Apakah kelebihan melaksanakan ibadah qurban?

Antara fadilat dan kelebihan berqurban itu ialah:

1. Keampunan -Titisan darah qurban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. ‘Imran bin Hushain radhiallahu ‘anhushallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatuna Fatimah radhiallahu ‘anha: meriwayatkan bahawa Rasulullah

Maksudnya: “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.” (Hadis riwayat al-Hakim)

2. Kebajikan (hasanah) yang dikurniakan kepada orang yang berqurban adalah sebanyak bulu binatang yang diqurbankan. Zaid bin Arqam radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada qurban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Pengertian kebajikan (hasanah) mempunyai maksud yang berbeza-beza di kalangan para ulama ahli tafsir. Hasanah adalah satu perkataan yang mempunyai maksud yang subjektif. Banyak penjelasan daripada mereka tentang tafsiran kalimah ‘hasanah’. Antaranya:

Ibnu Katsir rahimahullah berkata: “Kebajikan atau kebaikan (hasanah) di dunia itu meliputi semua yang bersifat keduniaan seperti sihat, selamat, tempat tinggal yang luas, isteri yang baik, rezeki yang banyak dan sebagainya. Manakala hasanah di akhirat pula, yang paling tinggi ialah masuk syurga dan selanjutnya semua kebahagiaan yang menjadi pelengkap kehidupan dalam syurga itu.”

Menurut al-Qadhi al-‘Iyadh rahimahullah, maksud hasanah itu ialah ni‘mat iaitu sama ada ni‘mat dari segi limpahan kurnia di dunia atau limpahan kurnia di akhirat atau ni‘mat terpelihara dari siksaan.

Manakala menurut Imam al-Qurthubi rahimahullah, maksud hasanah ialah iman. Sebagai contoh, barangsiapa yang mengucapkan syahadah, maka baginya setiap amalan kebaikan yang dilakukannya di dunia ini akan digandakan dengan sepuluh ganda dari segi pahalanya. Abu Dzarr radhiallahu ‘anhushallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: meriwayatkan bahawa Rasulullah

Maksudnya: “Allah ‘azz wa jall berfirman: “Sesiapa yang datang (melakukan) satu kebajikan, maka baginya sepuluh ganda pahala sepertinya dan Aku (Allah) akan menambahnya lagi.” (Hadis riwayat Muslim)

3. Darah qurban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah subhanahu wa ta‘ala. ‘A’isyah radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban). Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah qurban itu sebelum darah binatang qurban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah qurban kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam kesemua fadilat yang telah sebutkan, tak ada cerita nak bagi orang makan. Semuanya dapat pada pelaksana. Oleh yang demikian, peluang melakukan ibadat qurban yang hanya datang beberapa hari dalam setahun di bulan Zulhijjah tidak wajar diabaikan dan dilepaskan peluang yang tidak ternilai itu begitu saja.

Walaupun berqurban itu hukumnya hanyalah sunat sahaja iaitu sesiapa yang melakukannya mendapat pahala dan sesiapa yang meninggalkannya tidak berdosa, namun demikian kita hendaklah melihat perkara sunat itu dari perspektif yang berbeza bahawa sesiapa yang meninggalkannya “Alangkah ruginya!”.

Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berkemampuan yang mana menurut Imam asy-Syafi‘e: Tidak ada kelonggaran untuk meninggalkan (ibadat qurban) bagi orang yang mempunyai kemampuan. Jika ditinggalkan juga, maka hukumnya adalah makruh.

Apakah binatang-binatang ternakan yang dibenarkan untuk pelaksanaan ibadah qurban dan aqiqah?

Binatang-binatang ternakan yang di benarkan untuk pelaksaan qurban dan aqiqah ialah seperti unta, lembu, kambing, kerbau, kibas dan yang seumpama dengannya.

Berapa bilangan (ekor/bahagian) haiwan ibadah qurban yang di galakkan?

Bagi setiap seekor lembu, unta atau kerbau itu boleh dibahagi kepada 7 bahagian. Bahgian paling sedikit yang harus dalakukan oleh seseorang itu adalah satu bahagian dan tiada batasan untuk bilangan paling banyak.

Seseorang muslim itu boleh melaksanakan ibadah qurban ini sebanyak mungkin mengikut kemampuannya. Adapun bagi kambing pula, bagi seekor kambing tidak boleh dibahagi mengikut bahagian seperti lembu. Maka bagi setiap kambing itu adalah untuk seorang muslim sahaja.

Persoalan Agama: Ibadah korban

SOALAN:

Saya masih keliru tentang akikah dan korban. Bolehkan kita kumpulkan akikah dan korban dalam seekor lembu. Contohnya, akikah dua bahagian dan korban lima bahagian.

2. Untuk akikah dan korban, betulkah segala tulang dan kulitnya hendaklah ditanam. Bagaimana jika saya hanya membuangnya dalam tong sampah, adakah berdosa?

3. Saya selalu memerhatikan dalam majlis korban, ada yang mengambil daging korban dua atau tiga bungkus (bukan peserta korban). Berapakah sebenarnya yang boleh kita iaitu jemaah dan petugas ambil daging korban ini?

4. Adakah had umur untuk membuat akikah? Sebabnya semasa kecil saya belum diakikahkan kini saya ada sedikit kemampuan melaksanakannya. Atau bolehkah akikah diganti dengan ibadat korban?

JAWAPAN:

Jika kita melihat kepada falsafah ibadah korban dan ibadah akikah adalah dua perkara yang seperti sama tetapi berlainan maksud dan tujuan.

Ia sama kerana akikah dan korban adalah tuntutan menyembelih binatang ternakan. Akikah dilakukan kerana tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan anak. Lebih-lebih lagi ia sangat dituntut bagi mereka yang mampu melakukannya.

Rasulullah SAW mengumpamakan bagi mereka yang tidak melakukan akikah hutangnya tergantung, hutang yang tidak tertunai.

Sabda baginda yang bermaksud: “Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama”. (riwayat Abu Daud).

Hukum melakukan akikah adalah sunat muakkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing.

Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai di kalangan masyarakat kita yang berkongsi melakukan ibadah akikah dan korban. Mungkin mereka yang ingin melakukan ibadah akikah ingin mengambil fadilat mengorbankan binatang pada hari raya korban.

Memandangkan perkara yang tertanggung ke atasnya adalah akikah maka didahulukan akikah dalam musim korban.

Jumhur ulama berpendapat boleh melakukan akikah dengan seekor kambing, unta atau lembu. Tetapi mereka berbeza pendapat, adakah akikah mengambil hukum adhiyah (korban), atau sama dengan hukum korban, sehingga akikah boleh berkongsi pada seekor lembu atau unta.

Ini adalah masalah khilafiah. Ulama-ulama mazhab al-Sayfie berpendapat boleh kerana melihat akikah adalah sama dengan korban yang boleh berkongsi bahagian seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi.

Namun, para ulama mazhab Hambali dan Maliki berpendapat tidak boleh. Jika seseorang hendak melakukan akikah dengan seekor lembu contohnya, ia hanyalah untuk seorang anak sahaja. Tidak boleh berkongsi bahagian kerana bagi mereka akikah tidak sama hukumnya dengan korban dalam bab bolehnya berkongsi bahagian.

Dalam laman islam-qa menyebut: “dan yang lebih hampir (kepada kebenaran), bahawasanya ia (akikah) tidak boleh berkongsi, dan inilah (mazhab yang lebih hampir kepada kebenaran) mazhab al-Malikiyyah dan al-Hanabilah”. (lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 30/279)

Ulama yang berpendapat tidak boleh berkongsi dalam melaksanakan akikah melihat akikah adalah satu penebusan terhadap anak yang dilahirkan.

Maka seekor binatang yang disembelih untuk akikah adalah untuk seorang anak sahaja, kerana itu tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya perkongsian dalam melakukan akikah, maka ibadah hendaklah dibina atas dasar al-tauqif (mengikut dalil).

Seperkara yang perlu diingat, daging korban diagihkan secara mentah, manakala daging akikah dimasak dan dijamu.

Perbezaan akikah dengan korban
Akikah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan korban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijjah.

Daging akikah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging korban hanya boleh diberi kepada fakir miskin. Akikah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging akikah sunat disedekahkan setelah dimasak.

Selain melakukan korban dan akikah, umat Islam harus menjaga kebersihan semasa kedua ibadah ini dilakukan, lebih-lebih lagi ibadah korban. Kebanyakan ibadah korban dilakukan di perkarangan masjid dan surau, walaupun yang afdalnya, setiap orang melakukannya di perkarangan rumahnya sendiri.

Jadi demi menjaga kebersihan adalah sangat dituntut supaya segala tulang belulang binatang sembelihan ditanam. Yang demikian adalah bagi memastikan kebersihan persekitaran. Sekiranya ada yang membuang di tong sampah tidak dikira berdosa, tetapi adalah lebih baik menanamnya.

Melakukan ibadah akikah setelah dewasa tidak menjadi halangan. Walaupun demikian ibadah akikah adalah tanggungjawab ayah atau penjaga atau wali.

Sekiranya mereka tidak melakukannya ketika kita masih kecil, iaitu sebelum baligh atas halangan kewangan maka tidaklah dituntut keatas individu untuk melakukan atas dirinya.

Jika ada yang mahu akikah atas diri sendiri selepas dewasa tidak salah. Tapi yang lebih afdal adalah melakukan ibadah korban.

Mengenai mengambil beberapa bungkus daging adalah bergantung kepada cara pengagihan daging oleh jawatankuasa masjid atau surau atau penganjur.

Ada masjid yang memberi kupon kepada para jemaah untuk datang mengambil daging, begitu juga dengan para petugas. Biasanya petugas ambil banyak sikit, maklumlah dia bertugas.

Tetapi ini tidak bermaksud petugas boleh ambil banyak mana yang dia mahu. Harapnya tidak ada petugas mengambil peluang memenuhkan peti sejuk dengan daging korban.

Comments

comments

1 thought on “Ibadah Qurban dan kelebihan”

  1. Assalamualaikum wbt,

    Saya ingin bertanya satu soalan mengenai jumlah bilangan bahagian kerbau..setahu saya ia di bahagikan kepada tujuh bahagian dan menjadi persoalan nya boleh ka tujuh bahagian ini di kongsikan dengan tujuh org anak perempuan atau pun 3 org anak perempuan dan 2 org anak lelaki atau pun sebaliknya, berlainan ibu bapa dan satu orang pembeli sahaja..?

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.