Cubaan Sabotaj Produk Daging Burger Ramly Gagal. Ia Disahkan Halal

IPOH: Orang ramai diminta tidak was-was berhubung status halal burger Ramly selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk frankfurter jenama Ramly yang dijual di pasaran tempatan adalah halal.

Pengesahan Bahagian Hab Halal Jakim itu sekali gus menafikan dakwaan produk frankfurter jenama Ramly mengandungi DNA babi.

Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk produk frankfurter jenama Ramly yang dikeluarkan Bahagian Hub Halal Jakim masih sah sehingga 14 Januari 2012.

“Bahagian Hab Halal Jakim dan Kementerian Kesihatan sudah mengambil beberapa contoh produk dari kilang terbabit untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi pengesahan pada 14 November lalu.

“Hasil uji kaji Jabatan Kimia Malaysia mendapati produk berkenaan tidak mengandungi sebarang DNA babi,” kata Jakim dalam kenyataan.

Jakim menegaskan, mereka tidak akan bertolak ansur dalam memastikan kepentingan umat Islam terpelihara terutama membabitkan isu halal dan berlaku pelanggaran undang-undang berkaitan.

Justeru, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan membabitkan isu halal, orang ramai diminta untuk merujuk melalui laman web Bahagian Hab Halal www.halal.gov.my.

Sebarang pertanyaan berkenaan status halal sesuatu produk boleh menghubungi Bahagian Hab Halal, Jakim di talian 03-83150200.

Cubaan sabotaj

IPOH: Kumpulan Syarikat Ramly yang terkenal dengan produk daging burger Ramly menafikan sekeras-kerasnya dakwaan hot dog keluaran syarikat itu mengandungi DNA babi berikutan kenyataan Jabatan Kesihatan Kedah baru-baru ini mengenai keputusan persampelan produk franfurter lembu dengan jenama Ramly dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Yan mengesahkan ia mengandungi DNA babi.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly, Datuk Ramly Mokni berkata, ia adalah cubaan pihak tertentu mensabotaj syarikatnya.

Menurutnya, terdapat penggunaan pembungkusan bukan milik Ramly Food Processing Sdn Bhd dengan nombor batch yang tidak tepat dan pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi mengenal pasti pihak yang melakukan sabotaj terhadap produk syarikatnya.

“Saya, isteri dan keluarga adalah pemilik 100 peratus kumpulan syarikat Ramly dan tanda niaga RAMLY. Sebagai Muslim, kami amat menitik berat soal hukum halal haram.

“Perniagaan kami sudah bertapak lebih 30 tahun dan semua kakitangan beragama Islam. Kami tidak akan sesekali melakukan perkara ditegah agama,” katanya. Beliau menegaskan, proses pembuatan produk syarikat diselia rapi Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan lain yang berkaitan bagi mengekalkan kredibiliti sebagai pembekal produk halal.

Katanya, syarikat juga mempunyai jabatan halal diketuai Mohamad Rafizie Kastor (berkelulusan dalam bidang syariah Universiti Sains Islam Malaysia) dan turut menubuhkan jawatan kuasa halal dalaman dianggotai semua jabatan terbabit dalam pemprosesan untuk mengeluarkan produk mengikut standard manual Jakim.

Sehubungan itu, Ramly memberi amaran kepada pihak yang cuba memfitnah produk Syarikat Ramly supaya memberhentikan perbuatan ini.

Jabatan Kesihatan Kedah ketika diminta membuat penjelasan perkara itu mengesahkan ada mengambil sampel terhadap produk franfurter lembu jenama Ramly untuk dianalisis.

Pengarahnya, Dr Ismail Abu Taat berkata, syarikat pengeluar yang didapati melanggar peraturan akan diminta menghentikan penjualan buat sementara.

Comments

comments

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.